Tuesday, November 4, 2008

Sedarlah Bangsa Ku

Sebenarnya mengekalkan kemerdekaan itu amatlah susah dari mendapatkannya. Kita bersyukur kerana untuk mendapatkan kemerdekaan adalah hanya di meja perundingan sahaja. Walau pun demikian kita jangan lupa akan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan terbilang sebelum itu yang rata-rata menentang penjajahan seperti Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Mat Salleh dan banyak lagi.

Apa yang saya hendak perkatakan di sini ialah adakah pemikiran kita ini telah merdeka sepenuhnya....? Kita telah dijajah selama 420 tahun dan merupalkan satu masa yang agak lama. Kita lupa bahawa sebenarnya untuk menjadi satu bangsa Melayu yang kuat dan disegani oleh bangsa lain kita harus mempunyai ilmu. Ilmu yang bagaimana...? Sudah tentunya ilmu agama dan ilmu dunia kerana bangsa Melayu itu beragama Islam dan Islam itu sendiri tidak pernah memisahkan antara agama dan dunia.

Rata-rata gejala sosial yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu ialah disebabkan mereka tidak mempunyai ilmu agama. Sebagai contohnya, di awal usia mereka, mereka tidak diperkenalkan dengan ilmu agama yang merangkumi berbagai-bagai pendekatan samada pendekatan mengenal Maha Pencipta (Allah), soal-soal ibadat sebagai contohnya solat, puasa, pergaulan, kemasyrakatan dan sebagainya.

Lihat saja contoh bagaimana anak-anak muda Melayu bersosial hingga lahirnya anak-anak luar nikah malah ada yang dibuang di merata-rata tempat, tutur bahasa anak-anak Melayu yang sentiasa berbahasa slanga (Lu, Gua, Lu Apahal, Apa Kes, dan macam-macam lagi) semuanya menandakan ada kepincangan terhadap anak-anak muda Melayu ini kerana kurangnya ilmu serta didikan agama. Ibubapa mereka pula di atas tuntutan kehidupan bekerja siang dan malam untuk mencari wang untuk menjana pendapatan keluarga dan hal pendidikan terutamanya agama diperlekehkan. Keaadan ini jelas kerana jika wang yang kita cari maka wanglah yang akan kita dapat tetapi kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga akan terabai maka wujudlah sebuah kelauarga yang bermasalah.

Pada pendapat saya ilmu agama itu amat penting kerana seawal-awal mengenal agama ialah mengenal Maha Pencipta (Allah) itu sendiri. Selain dari itu soal ibadat juga amat penting lebih-lebih lagi solat kerana solat itu tiang agama umat Islam. Sekiranya azan berkumandang di masjid atau surau yang berdekatan tetapi kita masih lagi tidak mengendahkannya kerana masih lagi di padang bola, di kedai mamak minum teh atau menonton "English Premier League" atau berbagai-bagai lagi kesibukan kita hingga lupakan solat sudah tentunya kita ini akan hanyut lupakan Allah dan akhirnya kita akan jauh dengan Allah dan sudah tentunya yang hampir kepada kita ialah syaitan yang dilaknat kerana makhluk ini akan sentiasa membisikkan kepada kita untuk melakukan kerosakan dan dosa dan Allah telah mengingatkan bahawa "Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh kamu yang nyata".

Nah, justeru itu tidak hairanlah sekiranya berbagai-bagai kejadian yang tidak baik itu seperti keruntuhan moral dan akhlak, keruntuhan institusi keluaarga, penyalahgunaan dadah, malas bekerja, melepak tidak tentu arah, biadap dengan ibu bapa dan orang tua, tiada nilai diri dan norma hidup sebagai manusia, rogol, rompak dan samun, sumbang mahram di kalangan muda mudi Melayu atau tidak kurang juga "orang tua Melayu" itu berlaku di sebabkan angkara syaitan dan jauhnya orang Melayu itu dari Rahmat Allah.

Selain dari itu orang Melayu juga tidak minat untuk menguasai ilmu dunia. Sejarah telah membuktikan bahawa tokoh-tokoh ilmuan Islam itu dapat menguasai berbagai-bagai ilmu keduniaan seperti perubatan, biologi, pelayaran, matematik, arkeologi, geografi dan berbagai-bagai lagi. Kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada ilmunya. Orang-orang Melayu tidak berminat akan perkara ini kerana sifat mereka yang malas dari peringkat di bangku sekolah lagi. Cuba lihat bangsa lain lebih-lebih lagi bangsa India yang mana dulunya datuk nenek mereka tinggal di ladang-ladang getah dan kelapa sawit akan tetapi apabila tiba masa generasi baru mereka, timbulnya generasi yang berilmu seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, pensyarah dan golongan profesional yang menguasai berbagai-bagai tempat di dalam negara,. Bangsa Cina pula merupakan bangsa yang sama juga menguasai bidang ekonomi, akauntan, pakar ekonomi dan perbankan dan berbagai-bagai bidang profesional yang lain yang memenuhi segenap ruang dan tempat di dalam negara.

Orang Melayu pula menjadi bangsa yang terpinggir dan masih lagi di takuk lama...banyak bercakap tetapi kurang bekerja inilah sebenarnya bangsa Melayu. Kalau ada yang jadi pemimpin lebih banyak bercakap dan lebih mementingkan diri sendiri selain dari hendak mengekalkan kedudukan mereka kononnya.

Ayuh anak-anak muda Melayu... bangun dan sedarlah bahawa kita sebenarnya telah jauh tertinggal dalam arus kemajuan di dalam negara dan dunia. Jangan sampai kita menjadi satu bangsa yang mana kita akan merempat dalam negara kita sendiri....Sedarlah dan bangunlah dari tidur dan mimpi kalian.

Negara ini adalah milik kaum Melayu yang mana kaum lain juga sama-sama hidup dalam suausana yang harmoni, jangan pula mereka maju dan kita pula mundur. Hendaklah kita menjadi satu bangsa yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka agar mereka menghormati akan ketuanan kita. Sedar dan sedarlah wahai bangsaku.

No comments: