Tuesday, November 4, 2008

Cerita di Sekitar Persidangan UMNO Bahagian Kapar, Selangor

Baru-baru ini, UMNO Bahagian Kapar telah selamat bersidang yang mana pada waktu persidangan itu berbagai-bagai telatah malah gelagat di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Yang paling menariknya ialah persidangan kali ini melibatkan pemilihan berbagai-bagai jawatan samada AJK, G7, Pemeriksa Kira-kira dan Perwakilan ke UMNO Mesyuarat UMNO tertinggi.

Apabila timbul soal pemilihan maka berbagailah telatah serta gelagat bagi mereka yang bertanding. Yang pakai songkok panjang sejengkal pun ada, yang pakai baju melayu ala nak bernikah satu lagi pun ada dan tak kurang pula yang lengkap baju melayu siap bercapal lagi seolah-olah pejuang melayu sejati lagaknya pun ada. Bagi yang wanita dan puteri yang terpilih ke persidangan tersebut dari peringkat cawangan lagaknya pula tidak kurang hebatnya. Yang pakai emas sampai ke lengan, yang pakai rantai leher sebesar lipan (entah betul tulin entah tidak hanya Allah yang tahu), yang pakai tudung jenis yang tutup rambut sedikit pun ada hingga nampak lembah di antara dua dada dan bermacam-macam lagilah gelagat yang dapat dilihat.

Bukan hendak mengutuk atau mencerca peribadi seseorang tetapi sekadar renungan dan untuk difikir-fikirkan oleh semua yang membaca blog saya ini kerana ke semua yang hadir pada persidangan tersebut bukan calang-calang orang iaitu merupakan pemimpin melayu yang diamanahkan oleh ahli-ahlinya di peringkat cawangan untuk membawa suara mereka ke Bahagian dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Bahagian Kapar ini terbahagi kepada 4 Zon iaitu Zon Meru, Sementa, Selat Klang dan yang terbaru ialah Zon Sungai Pinang. Maka UMNO Bahagian Kapar ini sudah tentunya mempunyai bilangan ahlinya yang ramai. Sudah tentu banyak usul yang akan dibawa samada yang diterima tanpa bahas atau yang perlu dibahaskan dan bermacam-macam lagi. Maka adalah di kalangan mereka yang membaca usul tersebut seumpama 'gegak gempita" bunyinya seolah-olah dia seorang yang boleh berbahas sebegitu rupa orang lain tak tahu...yang paling hairannya pula ada yang pernah bertukar parti pembangkang masuk semula UMNO bawa usul tergempar lagi....Wah lagaknya seumpama pejuang melayu sejati...Bagi saya orang yang bertukar-tukar parti ni senang saja..orang yang tidak tetap pendirian... dan orang yang tidak tetap pendirian begini, bolehkah jadi pemimpin.....?

Bagi saya usul yang dibawa terlalu "grand" cerita itu, cerita ini, ISA perlu dikekalkanlah maka ditandatanganilah beramai-ramai atas satu banner (entah siapa yang tandatangan pun tidaklah pula diketahui), usul Kontrak Sosial, Zakat dan bermacam-macam lagi. Memang benar ini merupakan usul yang penting tetapi usul yang paling penting sekali, saya ingatkan sekali lagi yang paling penting ialah bagaimana hendak menguatkan parti dan ahli-ahlinya serta persiapan hendak merampas semula Negeri Selangor dari parti lawan. Apa yang saya lihat yang bercakap banyak itu ramai tidak ubah seperti orang yang tidak pernah dapat "microphone" maka banyaklah cerita merapu yang diutarakan lagaknya seperti kera mendapat bunga.

Kalaulah sikap ahli perwakilan yang hadir itu cuma hadir pada permulaannya sahaja dan tidak mampu menunggu sehingga tamat persidangan atau lepas makan balik, dari situ kita telah melihat kehancuran sikap ahli-ahli perwakilan macamana nak tawan semula Negeri Selangor!!! Amanah yang diberikan oleh ahli-ahli cawangan kepada mereka disia-siakan.

Pemilihannya mula menyaksikan asyik-asyik "muka" itu saja, tidak adakah "muka-muka" lain yang berkaliber layak untuk dicalonkan menjadi AJK, G7 atau sebagainya...Sudahlah begitu "muka-muka" tersebut sudah diketahui samada boleh atau tidak untuk buat kerja...bercakap pandai tetapi kerja....???? sewaktu hendak bertanding bukan main lagi rayunya dan lagaknya, lebih-lebih lagi kalau "iso ngomong jawo, usah risolah wak, aku pasti pilih wak, kitakan sekampong". Yang paling hairannya sewaktu saya keluar dari lif pun mereka dah tunggu hendak memberi kepada saya kad sebesar business kad yang mempamerkan nombor serta gambar mereka selain dari senarai "cai" mereka dan dalam hati saya berkata "cukup hebat...."

Inilah masalah UMNO diperingkat akar umbi yang harus diperbaiki dan dilihat oleh ketua Bahagian atau pucuk pimpinan. Pada saya setiap nama yang dicalonkan harus diteliti dahulu kewibawaannya samada di peringkat cawangan atau bahagian. Dan sekiranya calon itu dikira layak barulah boleh bertanding untuk dipilih oleh para perwakilan.

Hendak menjadi pemimpin itu bukanlah mudah, dan untuk menjadi pemimpin kita harus menjadi pemimpin kepada diri kita sendiri, keluarga dan barulah masyarakat. Pemimpin itu haruslah berilmu samada agama ataupun dunia. Seseorang pemimpin itu harus tahu untuk mentadbir urus cawangannya dan harus mempunyai matlamat serta misinya yang tertentu dan yang paling penting sekali harus tahu bagaimana hendak menjana pendapatan cawangan untuk terus bergerak tanpa hanya asyik mengharapkan peruntukan dari bahagian sahaja.

Di peringkat cawangan pula, kebanyakan ketua-ketua cawangan tidak sanggup menyerahkan jawatan kepada mereka yang berkemampuan sebalik mempunyai prasangka yang buruk terhadap mereka yang berkebolehan dan kalau boleh dicantas, dicantas agar tidak menonjol atau senang cerita lawan "taukeh". Dan janganlah hairan kalau ada sesetengah cawangan, yang dari Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri terdiri dari kalangan ahli keluarga mereka saja, ini sudah bukan pertubuhan politik tetapi pertubuhan keluarga!!!

Selain dari itu ahli-ahli di peringkat cawangan tidak didedahkan dengan berbagai-bagai prasarana keahlian seperti sessi penerangan, program-program kenegaraan dan sebagainya. Syaf kepimpinan kanan cawangan juga gagal dalam menyerapkan nilai serta kemampuan ahli dalam menyuarakan pendapat mereka untuk dibawa ke peringkat atasan.

Saya tabik kepada parti pembangkang yang bekerja demi parti dan bukan bekerja untuk mengharapkan balasan atau wang ringgit atau istilah lain "masyuk". Mereka ini bekerja bersungguh-sungguh dan mempunyai semangat kerja berpasukan. Saya berani berkata demikian kerana saya melihat cara mereka bekerja. Kepada ahli-ahli UMNO contohilah semangat berpasukan seperti mereka.

Tulisan saya ini bukanlah untuk memburuk-burukkan imej UMNO Bahagian Kapar tetapi sebaliknya hanya untuk renungan dan difikirkan oleh semua pihak kerana saya juga merupakan "mantan" Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selama 14 tahun dan kini menjadi Setiausaha Cawangan, Alhamdulillah ini merupakan amanah yang diberikan oleh ahli-ahli cawangan semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada saya sewaktu memimpin ini.

Semenjak menjadi pemimpin di peringkat akar umbi ini berbagai-bagai pengalaman yang saya lalui dan harapan saya agar pengalaman itu dapat menjadikan saya seorang pemimpin yang lebih berwibawa di masa yang akan datang.

Kepada calon-calon yang bertanding dan menang saya ucapkan tahniah dan diharapkan "muka-muka" anda saya sentiasa nampak dalam menjalankan tanggung-jawab samada sebagai AJK ke, G7 atau sebagainya.

Kepada sahabat saya Tuan Haji Faizal Haji Abdullah tahniah kerana anda telah menjawat jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Saya tahu anda berkebolehan menjadi pemimpin.

Kepada bekas ADUN Selat Klang, YB Norliza janganlah pula lupa Wanita di Zon Selat Klang ni..dahulunya rajin melawat Wanita sekitar zon Selat Klang sekarang ni dah kurang pula ya....

Saudara Rosli Abdul Hamid, Ketua Pergerakan Pemuda (merupakan sahabat seangkatan saya) juga tahniah kerana anda telah menerajui Pemuda sekarang bermakna tanggung-jawab serta amanah yang anda pikul amat berat jadi jangan sesekali anda lupakan Pemuda di Zon Selat Klang.

Saudari Hanimasra saya jarang sesekali melihat "anda" serta "wajah" anda di sekitar Zon Selat Klang...kenapa ya..adakah disebabkan Puteri di Zon Selat Klang tidak sehebat Zon anda...???

Harapan saya juga kepada Dato' Ketua UMNO Bahagian, janganlah lupa melawat serta meninjau cawangan-cawangan serta kawasan di Zon Selat Klang ini. Terus terang saya katakan saya "orak iso ngomong jawo" sebab saya berdarah bugis tetapi kitakan serumpun....

No comments: